UTAM merupakan satu inisiatif nirlaba yang dimulakan oleh anak-anak muda di Manchester, United Kingdom. Inisiatif ini kemudiannya diperkembang dengan membentuk sebuah pasukan yang lebih besar supaya kuliah mingguan dan program-program dapat dijalankan secara konsisten. Setakat ini, kru UTAM terdiri daripada mahasiswa Malaysia di UK, Amerika Syarikat, Jordan, Arab Saudi, dan Malaysia. Selain kuliah mingguan dalam talian melalui Ustream, UTAM juga menjalankan diskusi mingguan secara setempat yang digerakkan oleh kru UTAM dan sukarelawan yang sedia membuka ruang diskusi di tempat masing-masing.
Matlamat UTAM adalah untuk membudayakan ilmu dalam kalangan rakyat Malaysia, memperkaya khazanah keilmuan dalam Bahasa Melayu, serta memperkukuh demokrasi dan peranan ilmu dalam kalangan rakyat di Malaysia.